Monday, April 25, 2016

Diari sentapan Bandung
==================

Bila keluar lihat negara orang, rasa bersyukur berada di Negara sendiri. Banyak perkara yang saya belajar, banyak perkara yang sama harus perbetulkan, banyak juga perkara yang rasa harus sampaikan kepada orang ramai . Baru-baru ini saya bersama rakan-rakan buat lawatan singkat di Bandung, Indonesia. Ada beberapa perkara yang mencuri dan mencuit hati saya tentang kehidupan mereka.

1. Fokus pemanduan, kalau anda yang pernah pergi ke Bandung, anda dapat lihat aliran traffic nya tidak pernah lengang dengan kelebaran jalan yang sempit. Traffic light hanya ada beberapa sahaja. Memang sangat padat, nak melintas jalan kami agak mudah sebab dibantu oleh guard yang menjaga jalan. Kalau ada yang terhimpit, tidak pernah saya lihat mereka menjeling panas atau mengeluarkan 'tanda tangan' apa lagi meroyan memaki hamun, memang saya tidak jumpa. Kalau di Malaysia 'jelingan tajam' tu dah biasa. Kami cuba cari kenderaan yang remuk, pon tidak dijumpai. Menurut seorang rakan saya Dr Azizul , selama 2 tahun beliau belajar di sana, beliau tidak pernah menyaksikan kemalangan berlaku. Pelik kan. Sedangkan kalau tengok keadaan traffic mereka, memang saya sendiri takut nak memandu di sana. Kami tidak melihat, tidak bermakna kemalangan itu tidak berlaku, tetapi itu cukup membuktikan kekerapan berlaku kemalangan ini sangat rendah. Pengajaran yang saya dapat, "Kita yang senang lenang selalu terlalai, mereka yang sedar berhadapan dengan bahaya, sentiasa bersedia dan berhati-hati".
.
.
2. Tidak melepak kosong, Di Bandung 80% rakyatnya adalah dari golongan miskin, 20% dari golongan kaya. Tiada istilah golongan pertengahan. Saya tidak jumpa golongan muda yang melepak kosong, yang nampak mereka melepak di tepi jalan atau pasaraya, pasti ada barang yang mereka niagakan. Bila mereka menjual, mereka sedaya upaya meyakinkan pelanggan untuk membeli barang dagangan mereka. Kadang-kadang sehingga 4,5 disapa orang yang sama, akhirnya beli juga. Kita membeli kerana kesungguhan mereka.  Mereka bukan meminta sedekah, mereka menjual. Beza mereka, mereka berniaga untuk mencari makan, kita berniaga untuk jadi kaya. Pengajarannya, "bila hidup mendesak, orang yang terus positive akan terus berusaha, kalau berusaha masih ada peluang untuk berjaya, kalau putus asa, sudah tentu gagal".
.
.
3. Gaji Kecil kos tinggi, Cukup menginsafkan saya bila bertanyakan gaji mereka, receptionist hotel bergaji cuma 700,000 Rupiah bersamaan RM210 sebulan. Kos hidup mereka rendah? Tidak, tak jauh beza pon dengan Malaysia. Kalau minyak dan gas jangan cakap la, bila melihat barang-barang keperluan, kedai runcit tidak jauh dari kita. Yang murah cuma rokok sebab Malaysia sangat mahal. Kita pula lebih rela menganggur daripada tidak cukup cuma bergaji RM1000. Saya tidak nafikan nilai itu sedikit, tetapi saya ingin menyampaikan bertapa bertuahnya kita berbanding mereka. Pengajarannya, "Yang sedikit kita mulakan, mungkin akan datang boleh jadi banyak dan meningkat, yang tidak bermula jangan berharap berlaku perubahan memperjudikan nasib".
.
.
4. Lihat gambar, apa la orang tua ni baca buku kartun kanak-kanak tepi jalan, macam orang tak betul jer. Nampak mulutnya terkumat kamit perlahan, saya cuba merapati, rupanya dia sedang membaca Surah Yaasin. Buku Yaasin berselindung dibelakang buku kartun tersebut. "Masa bila kita baca Al-Quran, kita sibuk, baca yaasin, kalau ada pon malam jumaat, itu pon kadang-kadang", kita sentiasa sibuk 24 jam. Saya tak kata orang, saya mengata diri sendiri juga.

Saya tidak mengatakan mereka lebih baik dari kita, tetapi ambil sesuatu yang baik sebagai pedoman dalam kita menongkah kehidupan. Setiap perkara yang kita lihat pasti ada pengajarannya.

-KEY- fb khairul ezuwan.

No comments: