Wednesday, September 3, 2014



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

Cuit-cuit Ust Kay (CCUK)

Antara sifat kekurangan manusia ialah sering atau mudah LUPA. Perlu diingat dan ditegur selalu. "Al-Insanu nasiya" maksudnya manusia itu sifatnya pelupa.

PENCERAHAN :
Abu Laits As-Samarqandi terpaksa mengarang sebuah kitab setebal  3 inci yang bertajuk 'Tanbihul Ghafilin' @ Peringatan Pada Yang Lalai untuk mengingatkan sesama manusia akan sifat kekurangan ini.

Contoh yang klasik, Ramadan baru sahaja meninggalkan kita sebulan yang lalu, belum pun habis biskut raya dirumah tetapi ada di antara kita yang sudah lupa jalan ke masjid atau surau. Sudah lupa di mana simpan Al-Quran...

Manusia seperti ini kepada 5 jenis iaitu;

1. ABAI
Golongan ini sama ada terabai, diabai atau sengaja mengabaikan tuntutan dan ajaran agama.

Orang seperti ini mengabaikan ilmu dan amal ibadat kerana menganggap ianya kurang atau tidak penting berbanding urusan dunia mereka. 'Just ignore it'... Ilmu Fardu Ain atau Fardu Kifayah tidak dipedulikannya. Apatah lagi hendak mengamalkannya.

Mereka mengabaikan terus hal berkaitan agama. Mereka meninggalkan Allah, Allah juga akan 'meninggalkannya', mereka tidak pandang pun Allah (hak Allah), Allah juga tidak akan pandang mereka. Mereka abai, mereka terabai !

2. CUAI
Golongan ini ada niat untuk beramal ibadat tetapi cuai pada sudut disiplin ilmunya. Janji boleh solat, janji berpuasa seperti orang lain atau janji sampai Mekah untuk mengerjakan umrah atau menunaikan haji.

Soal kesempurnaan ibadat tersebut, syarat sah atau rukunnya apatah lagi falsafah setiap ibadat tersebut diambil mudah sahaja.

Contoh, orang lelaki sembahyang tetapi kain seluar, pelikat dan kain jubahnya meleret-leret sehingga menutupi buku lali. Sepatutnya di atas buku lali seperti seluar Wak Doyok, cuma jangan ketat.

3. LALAI
Golongan mereka yang sudah mempunya ilmu agama yang mantap dan perlaksanaan ibadat yang benar.

Seperti yang pernah disebut oleh Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna, telah mempunyai antara 10 ciri-ciri muslim mukmin sejati iaitu 'Sohihul ibadah' atau ibadat yang benar. Tetapi manusia seperti ini akan melambat-lambatkan atau sengaja meninggalkannya.

Contoh 'tembak tepat' ialah para pelajar yang baru menamatkan pengajiannya di Timur Tengah seperti di Mesir atau Jordan, tetapi bila pulang ke tanahair semuanya 'mengeram' dan membisu di rumah masing-masing. Tidak mahu tampil membimbing masyarakat. Jika datang ke surau atau ke masjid pun lewat supaya terlepas daripada menjadi imam. Ilmu yang ada untuk amal sendiri-sendiri sahaja.

4. LONGLAI
Golongan ini tidak malas mengerjakan perintah agama tetapi iman mereka lemah dan mudah terpedaya. Walaupun mereka juga dipanggil 'orang agama' seperti 'orang surau' atau 'orang masjid' dan para asatizah tetapi mereka juga tewas dalam godaan hawa nafsu dan tarikan dunia.

Sebab itu, kita mungkin pernah dengar AJK masjid atau surau selewengkan kewangan tabung dan khairat kematian, Tok Imam ditangkap khalwat, ustaz ajar ajaran sesat dan sebagainya lagi. Ataupun baru balik haji punya semangat datang ke masjid berjubah, sehingga minum di warung kopi pun berjubah, berkopiah bagai. Selepas sebulan-dua, tinggal kopiah je...itupun kadang-kala lupa pakai !

5. SALAI
Golongan ini paling berani. Mereka bukan tidak tahu perintah dan larangan agama tetapi sengaja melanggarnya. Seolah-olah telah bersedia dan tidak kisah untuk dibakar dan 'disalai' di dalam neraka nanti.

Pegangan hidup mereka : "Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke lengan masam". Hati mereka telah ditutup oleh Allah untuk menerima hidayah. Firman Allah SWT;

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَن يَهْدِيهِ مِن بَعْدِ اللَّهِ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

"Bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap
orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui-Nya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah? Oleh itu, mengapa kamu tidak ingat dan insaf?" (QS Al-Jathiya : 23)

KESIMPULAN :
Jangan abai, jangan cuai dan jangan lalai. Jangan pula longlai kelak kamu akan disalai.

Sekadar muhasabah. Lihat di kelompok mana kita berada dan mjadi sebab utk kita berusaha mnuju redhaNya..

Wallahua'lam

No comments: